Presiden Jimmy Carter pernah melawat hutan ini untuk memerhatikan burung.

Satu virus bawaan nyamuk yang menyebabkan demam seakan denggi dinamakan sempena nama hutan itu. Kira-kira 70 tahun dahulu, melalui tinjauan silvatik penyakit berbahaya demam kuning (penyakit West Nile), virus itu telah dikesan daripada monyet rhesus yang meng­huni hutan itu. Kini demam daripada jangkitan virus Zika dikaitkan pula dengan peningkatan kecacatan kelahiran bayi di Brazil.

Kes pertama demam Zika dikesan pada manusia di Uganda pada 1952.

Virus berjangkit ini mula mendapat liputan dan perhatian besar sejak pertengahan 2015, selepas serangan wabak dengan sedikit impak, berlaku di wilayah barat kawasan Pasifik termasuk French Polynesia, New Caledonia, Kepulauan Easter, dan Kepulauan Cook pada 2007 dan 2013. Namun tiada wabak penyakit ini berlaku di Uganda sejak kali pertama virus ini dikesan pada 1947. Mengikut pihak berkuasa kesihatan Uganda, Zika tidak dianggap penyakit penting di Afrika tropikal di mana malaria, juga disebarkan oleh nyamuk adalah pembunuh penting.

Dari Brazil, virus ini merebak ke seluruh Amerika Latin dan Carribean. Di Brazil yang kes denggi mencapai 1.65 juta dengan kematian 863 orang pada 2014 sekarang berdepan pula demam Zika dengan 20 kali ganda kelahiran bayi dengan kepala kecil dan ketidakmatangan otak - keadaan yang dipanggil mikrosefali. Hampir 3,500 kes kelahir­an bayi cacat upaya dengan 270 disahkan mikrosefali, satu peningkatan ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Beberapa daripada mereka maut dan yang terselamat mengalami masalah perkembangan saraf.

Di Asia, demam Zika dilaporkan secara sporadik di Kemboja, Thailand, Indonesia (Jawa dan Lombok), walaupun virus ini pernah dikesan dalam nyamuk Aedes aegypti di Semenanjung Malaysia pada 1969. Pada 1953 antibodi kepada Zika telah dikenal pasti dalam 15 daripada 79 pesakit di Semenanjung dan sembilan daripada 50 penduduk Malaysia Timur. Bagaimanapun demam Zika di Malaysia belum lagi dilaporkan.

Pada 2001, kes positif antibodi virus Zika dikesan daripada orang asal Borneo, dua pendatang asing­ dari Borneo, dan dua orang utan (pongo pygmaeus). Kajian selanjutnya me­nemukan tambah­an lapan lagi orang utan Borneo positif virus Zika. Itu menunjukkan kehadir­an virus itu dalam kitaran Malaysia berpotensi sama dengan negara-negara tropika berjiran yang lain termasuk Uganda.

Ketiadaan demam ini di Malaysia boleh diandaikan sama ada virus ini sangat jarang menjangkiti manusia ataupun terselindung di sebalik kes demam denggi.

Rekod Kementerian Kesihatan pada 30 Januari lalu yang melaporkan lebih 280 contoh darah pesakit disyaki denggi negatif kepada antibodi Zika, seolah-olah mengiyakan andaian tersebut.

Tahun lepas kes terpinggir Zika asal Malaysia telah dilaporkan oleh jurnal Emerging of Infectious Disea­ses. 2015 (Dennis Tappe, et al, May; 21(5): 911–913). Seorang wanita berumur 45 tahun dilaporkan ke klinik pesakit luar Heidelberg di Jerman pada 1 September 2014, kerana demam panas dengan badan, kaki dan tangan ditumbuhi ruam disahkan terjangkit virus Zika, enam hari selepas kembali dari bercuti tiga ming­gu di Malaysia.

Berasaskan waktu eraman virus itu kira-kira enam hari, diandaikan pesakit itu terjangkit di sekitar pedalaman Keningau, Sabah. Namun ujian untuk mengesan kehadir­an virus Zika tidak membuahkan hasil dan demam itu sembuh 10 hari kemudian.

Kesan berbeza virus ini ke atas manusia di Afrika dan mungkin Asia Tropikal, dengan di Amerika Latin dan Caribbean berkemungkinan ada kaitan dengan imuniti dan juga nyamuk yang menyebarkan virus di sana berbeza dengan di Amerika Latin dan Carribean, dan tentunya habit pun berbeza.

Sang nyamuk yang bertanggungjawab menyebarkan virus telah merentasi Lautan Atlantik, berkemungkinan besar daripada pergerakan manusia pembawa, adalah dalam subspesies Aedes aegypti aegypti, dan yang ini mungkin perbezaan penting.

“Yang terdapat di Uganda pula ialah Aedes aegypti formosus, yang menyasarkan mangsa lebih kepada haiwan berbanding manusia,” kata Dr. Julius Lutwama, saintis Uganda yang menyelidik virus bawaan serangga. Tiada laporan kes kelahiran seperti mikrosefali - bayi dilahirkan dengan kepala kecil - yang dikaitkan dengan virus yang me­nyerang Amerika Latin.

Walaupun tiada wabak itu di Uganda, beberapa orang telah diuji positif kepada Zika sejak beberapa tahun lalu. Demam kuning dan demam denggi lebih banyak dilaporkan di Uganda, dan penderita pe­nyakit itu juga telah memba­ngunkan imuniti terhadap Zika.

“Disebabkan kedua-dua demam ini berkait rapat dan disebarkan oleh nyamuk yang sama, ada kemungkin­an berlaku imuniti bersilang,” kata Dr. Lutwama.

Untuk membasmi penyakit, basmi pembawanya. Justeru kerajaan Brazil mengerahkan sebanyak 220,000 anggota tentera negara itu ‘melancarkan perang’ terhadap nya­muk penyebab Zika dengan pergi dari rumah ke rumah.

“Selagi nyamuk membiak, kita akan kalah dalam perang. Oleh itu kita mesti bergerak untuk menang,” kata Presiden Dilma Rouseff.

Gejala penyakit Zika tak seberapa. Sebanyak 80 peratus penderita Zika tidak menunjukkan gejala pe­nyakit, menyebabkan kerumitan kepada wanita hamil untuk menjangkakan bayi yang bakal dilahirkan berisiko.

Justeru sebagai langkah pencegah­an, wanita hamil terutamanya dinasihatkan tidak pergi ke kawasan yang berisiko termasuk Rio de Janeiro; tuan rumah Sukan Olimpik 2016. Brazil merekodkan kes Zika pada pertengahan 2014 selepas Piala Dunia, mungkin akibat pergerakan manusia termasuk yang berisiko.

Ancaman sama nampaknya menggugat lagi pada Olimpik tahun ini.

PENULIS ialah bekas Pengarah Veterinar Kelantan yang berkepakaran dalam bidang epidemiologi dan kawalan penyakit haiwan.