Oleh Tuan Asri Tuan Hussein
Mereka memang menjangka akan ditahan oleh tentera Israel tapi tetap
nekad untuk meneruskan misi memberi bantuan kepada rakyat Palestin yang
sekian lama menderita akibat terkurung ‘penjara terbesar’ ciptaan rejim
Zionis di Gaza.
Keputusan itu sudah cukup untuk menggambarkan kehebatan 13 mak cik
dan nenek yang menyertai misi kemanusiaan Women’s Boat to Gaza (WBG)
termasuk seorang rakyat Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hassan.
Tiga belas wanita berhati waja itu ditahan selepas kapal
Zaytouna-Oliva yang mereka naiki dipintas dan ditunda tentera Israel di
Pelabuhan Ashdod pada jam 2.58 petang waktu tempatan (9.58 malam waktu
Malaysia) Rabu lalu.
Ketika ditahan, Zaytouna-Oliva yang membawa makanan dan ubat-ubatan
berada di perairan antarabangsa pada kedudukan 42 batu nautika dari
Gaza.
Misi kemanusiaan ini yang berlepas dari Barcelona, Sepanyol pada 14
September lalu terpaksa menggunakan jalan laut selepas Israel menutup
dan mengepung laluan darat ke Gaza bermula dari sempadan Mesir-Gaza di
Arafah.
Selain Dr Fauziah dari Malaysia, misi kemanusiaan disertai 12
wakil lain dari Tunisia, Israel, Algeria, Kanada, Turki, Amerika
Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand dan Australia.
Alhamdulillah, 13 srikandi pejuang kemanusiaan ini tidak lama
berada dalam tahanan Israel apabila mereka dibebaskan kira-kira jam 3
pagi waktu Malaysia, semalam.
Terdahulu, dua daripada mereka iaitu sukarelawan yang juga wartawan Al Jazeera dibebaskan sehari lebih awal.
Kita menyambut baik dan menerima perkembangan ini dengan penuh
kesyukuran, namun sebagaimana ditekankan berulang kali oleh 13 peserta
WBG, apa diperjuangkan mereka sebenarnya ialah pembebasan rakyat
Palestin.
Selagi Palestin masih ditindas dan dipenjara, perjuangan akan tetap
diteruskan 13 wanita hebat ini bersama-sama seluruh aktivis pencinta
keamanan lain di seluruh dunia.
Dr Fauziah, seorang pakar perubatan sakit puan yang juga ibu kepada
tiga anak serta memiliki enam cucu, adalah sukarelawan yang sering
terbabit dalam misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Humanitarian Care Malaysia
(MyCARE) serta ahli seumur hidup Mercy Malaysia sebelum ini pernah
menyertai misi kemanusiaan di Kosovo, Afghanistan, Pakistan, Turki dan
Jordan.
Penyertaannya di dalam WBG bersama wanita besi yang lain termasuk
pemenang Hadiah Nobel 1976 Mairead Maguire dari Ireland jelas
membuktikan peranan dan sumbangan aktivis kemanusiaan Malaysia diiktiraf
di peringkat dunia.
Nyata, semangat, keberanian dan kegigihan dimiliki Dr Fauziah
bersama peserta WBG yang lain bersifat luar biasa. Ia bukan boleh
dibuat-buat, sebaliknya hadir daripada naluri keibuan yang sejati.
Biarpun Zaytouna-Oliva ditawan tentera Israel, misi kemanusiaan dibawanya tidak boleh dianggap gagal.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Prof Madya Dr Hafidzi
Mohd Noor berkata biar bagaimanapun kesudahan perjalanan WBG, ia kini
sudah membuka mata masyarakat antarabangsa mengenai kekejaman Israel
terhadap rakyat Palestin.
Ya, itulah hakikatnya. Hanya untuk ‘membuka mata’ kuasa-kuasa
besar dunia yang masih tak nampak atau buat-buat tak nampak isu di
Palestin, 13 wanita berstatus isteri, ibu dan nenek sanggup menggadaikan
nyawa.
Puluhan hari mereka dilambung ombak dan meninggalkan ahli keluarga
serta insan tersayang yang sentiasa diselubungi kerinduan dan
kebimbangan, demi untuk membela nasib rakyat Palestin.
Tidak dapat dipastikan sebesar mana mata Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) terbuka dengan penahanan peserta WBG ini. Adakah selepas
ini PBB akan lebih tegas dan bertindak ke atas Israel?
Atau, mungkinkah PBB akan tetap meneruskan dasar berlembut ke
atas Israel dengan hanya mengeluarkan kenyataan yang menggesa atau
mengutuk, tanpa sebarang tindakan yang proaktif.
Kita amat berharap pengorbanan besar 13 peserta misi WBG ini berbaloi dan mencapai matlamatnya.
Dengan latar belakang 13 pesertanya yang hebat dan mewakili
pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, diharapkan negara ‘polis
dunia’ itu berjaya mempengaruhi Israel supaya menghentikan sekatan dan
kepungan ke atas Israel.
Selepas PBB selama ini gagal mengekang kerakusan Israel, kini kita
mengharapkan mudah-mudahan 13 pasang tangan yang menghayun buaian,
benar-benar akan mengubah dunia dan menghadirkan kegembiraan kepada
rakyat Palestin.
0 comments:
Post a Comment