Anak tetak ibu atau ayah hingga mati. Insiden tragik ini berlaku
lagi. Kebiasaannya ia disebabkan dua perkara, sama ada si anak mengambil
dadah atau mengalami masalah mental.
Kes terbaru berlaku pada 4 Oktober lalu. Rahmat Shahir Rashdan
Shakir, 23, yang juga anak tunggal dalam keluarga didakwa membunuh
Halimaton Katan, 49, di 2B-01-08, Blok B, Menara Jade, Bukit Indah,
Ampang, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata selepas
membunuh ibunya suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau
berkaitan dadah, pergi ke Balai Polis Komuniti Bukit Indah, sambil
memegang parang yang digunakan untuk menetak ibunya.
Dua hari sebelum itu, seorang lelaki yang dipercayai mengalami
masalah mental Azman Wahab, 32, ditahan selepas disyaki membunuh adik
dan ibu saudaranya di Kampung Lanai, Parit Panjang, Baling Kedah.
Dia yang berusia 31 tahun dikatakan tiba-tiba mengamuk sebelum
memukul adiknya, Muhammad Azuan Wahab, 25 tahun yang lumpuh dengan
pengukur kelapa dan kayu di kepala menyebabkan mangsa mati di tempat
kejadian.
Azman kemudian pergi ke kedai untuk membeli rokok. Kelakuannya yang
aneh mendorong ibu saudaranya Rokiah Abdullah, yang juga pemilik kedai
cuba memujuk suspek.
Namun, Azman tiba-tiba mengambil seketul bata lalu melibas ke kepala
mangsa menyebabkan wanita itu rebah dan berlumuran darah sebelum
meninggal dunia.
Setiap kali mendepani kejadian sebegini. Kita terkejut,
beristighfar, mengeluh sambil menggeleng-gelengkan kepala. Itulah reaksi
lazim kebanyakan kita sambil jauh di sudut hati timbul tanda tanya
mengapa kejadian seperti ini boleh berlaku.
Hakikatnya, biar apapun perasaan dan keluh kesah kita kita insiden
seperti ini yang suatu masa dulu amat jarang berlaku kini sudah menjadi
sebaliknya. Seperti yang dinyatakan di awal penulisan ini, puncanya
dadah dan masalah mental.
Fakta ini mendorong saya membuat congakan sedikit jauh ke depan.
Berdasarkan jumlah penagih dadah dan penyakit mental di negara kita yang
menunjukkan trend peningkatan, saya semakin bimbang.
Adakah selepas ini akan ada lagi dan semakin kerap berlaku di negara
kita kejadian anak membunuh ibu, ayah, adik-beradik dan saudara-mara?
Berdasarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Negara sebelum
ini seramai 131,841 penagih dadah dikesan dalam negara sejak Januari
2010 hingga Februari tahun ini.
Menurut statistik dikeluarkan Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan,
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu, penagih lelaki seramai 127,797,
manakala 4,044 penagih wanita.
Ahmad Zahid berkata, disebabkan senario itulah sejak 1983 sehingga kini, dadah masih menjadi musuh nombor satu negara.
Mengenai penyakit mental pula, Ketua Jabatan Pakar Psikiatri
Hospital Tuanku Fauziah di Kangar, Dr Ruzita Jamaluddin berkata penyakit
mental dijangka menjadi penyakit kedua tertinggi yang dihidapi rakyat
Malaysia selepas penyakit jantung pada 2020.
Beliau berkata, statistik jumlah penghidap penyakit itu sangat
membimbangkan dengan rekod 2008 menunjukkan terdapat kira-kira 400,227
pesakit mental di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital
kerajaan.
“Malah jumlah itu terus meningkat di mana sebanyak 2,000 kes baru
skizofrenia dilaporkan setiap tahun. Lebih membimbangkan jumlah ini
berkemungkinan tidak menggambarkan bilangan sebenar,” katanya dalam satu
ceramah Julai lalu.
Selain itu, satu laporan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
sekadar menambahkan lagi kebimbangan. Statistik pihak berkuasa itu
mendapati 57.7 peratus atau 15 kes bunuh membabitkan ahli keluarga
dilaporkan sejak Februari 2014 hingga Oktober ini berpunca akibat
masalah emosi dan tekanan mental.
Semua angka dan statistik ini seharusnya menyedarkan orang ramai
terutama mereka yang ada ahli keluarga menghidap penyakit mental atau
menagih dadah, supaya bersikap proaktif.
Mereka perlu sedar dan menerima hakikat bahawa anggota keluarga yang
menghidap penyakit mental atau menagih dadah itu boleh diibaratkan bom
jangka di dalam rumah yang boleh meletup pada bila-bila masa.
Mesej paling penting yang ingin disampaikan ialah pastikan anggota
keluarga yang menghidap penyakit mental atau menagih dadah itu menerima
rawatan perubatan dan pemulihan sewajarnya.
Jangan menipu diri sendiri dan bersikap seolah-olah tiada apa-apa
akan berlaku. Jangan sorok atau abaikan ‘bom jangka’ di rumah anda itu.
Pesakit mental dan penagih dadah tidak boleh dibiar atau disisihkan,
sebaliknya mereka perlukan perhatian khusus serta rawatan.
Setiap ahli keluarga harus tabah dan sabar menerima dugaan Allah
apabila ada ahli keluarga yang menghidap penyakit mental atau menagih
dadah. Jangan kecewa dan lari daripada masalah.
Hidup harus diteruskan dan yakinlah ada banyak individu, organisasi
serta jabatan kerajaan yang berkepakaran sedia memberikan khidmat mereka
untuk membantu anda.
0 comments:
Post a Comment